Di rumah Amalia (orphanage) ada satu sesi yang disebut muhasabah. Salah satu bentuk dari muhasabah ialah dengan cara menulis dan di sebabkan itulah saya mengajarkan anak-anak Amalia untuk menulis sekalipun hanya satu atau dua baris bukanlah masalah yang paling besar apabila anak-anak terbiasa melatih menterjemahkan perasaan dalam bentuk penulisan. Penulisan juga boleh dianggap sebagai terapi dan merupakan salah satu bentuk luahan dari apa yang dirasakan di dalam hatinya.
Pagi ini tanpa sengaja saya menemukan sebuah kertas yang berisi tulisan. Berkali-kali saya membacanya, tidak terasa air mata saya berlinang disaat membaca tulisan ini. Sebagai seorang ayah tulisan ini menusuk hati, mampu menggores luka yang teramat dalam kerana saya memahami kerinduan seorang anak kepada ayah yang dicintainya. Tulisan itu judulnya 'Air Mata Untuk Ayah'
"Ayah, lihatlah air mataku. Air mata anakmu yang selalu mencintaimu. Ayah selalu berkata sayang padaku tetapi ayah tidak menjaga kesihatan, membuat ayah menjadi sakit, kenapa ya? Aku juga mencintaimu, aku tidak ingin ayah pergi. Jika aku menangis, siapa yang akan mengusap air mataku? Jika aku rindu, siapa yang akan memelukku? Ayah tidak pernah menjawab setiap kali aku bertanya, ayah hanya tersenyum. Hatiku perih, ayah. Semua kenangan itu, senyuman itu selalu membuat air mataku berlinang, tidak ada seorang pun yang dapat menghentikannya, kerana aku rindu padamu, Ayah... Air mata ini untuk ayah.."
p/s: Saya terkenangkan arwah abah. Pokoknya luahan anak itu kena dengan rasa hati saya sekarang. Saya rindu arwah Abah. Rindu sangat-sangat. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui isi hati saya di saat ini.
Saat-saat itu datang
Bukan kemahuan abah untuk sakit dan terlantar di ICU selama sebulan. Anak mu ini mengerti kesakitan dan penderitaan yang abah rasai. 7x di operate oleh doktor. Manalah abah mampu bertahan dengan usia emasnya itu untuk menghadapi operation sebanyak itu. Entah apa masalahnya usus abah bermula dari sekadar angin pasang di sebelah kiri usus yang hanya sebesar telur puyuh telah menyebabkan abah pergi meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya.
Sudah 3-4 bulan abah dilanda angin pasang. Kalau abah sakit teruk pun cuma sekadar abah demam sehari dua saja. Entah kenapa di pagi selasa yang hening (3hb 5 2011) abah telah terjelepok ke tanah dan tidak berdaya untuk berjalan seperti sediakala. Suhu badan abah tinggi. Abah menghidap demam. Telah disarankan oleh mak untuk membawa abah ke pusat perubatan As-Syifa tetapi abah tidak mahu. Bawa ke klinik juga abah enggan. Sesudah malam abah dipaksa juga oleh kami anak beranak ke klinik swasta. Abah akur. Abah telah dibekalkan dengan ubat sembelit dan demam.
Setelah abah makan ubat dari klinik itu disangkakan sakit abah akan kebah. Rupa-rupanya makin melarat. Abah telah muntah dan membuang air besar yang sangat kerap. Harunya hati ini apabila melihat muntah abah adalah air dan darah yang berketul-ketul kecil dan hanyir. Tetapi abah bukan muntah darah. Barangkali abah tersalah makan ubat sembelit. Ya, pihak klinik swasta tersebut telah memberi ubat yang salah kepada abah. Abah juga bukan sembelit. Abah cuma sakit angin pasang. Masih terngiang-ngiang di telinga ini abah memanggil nama saya untuk menadah mangkuk muntahnya
Esoknya 5hb 5 2011, kami sekeluarga memutuskan untuk membawa abah ke hospital setelah melihatkan keadaan abah yang langsung tidak berubah baik. Malam tadi abah langsung tidak tidur. Dan setelah itu bermulalah episod hidup kami anak beranak berulang-alik dan tidur di bilik menunggu ICU Teratai 2. Pada operation pertama usus besar abah telah dibuang separuh daripadanya kerana menurut kata doktor usus abah yang terkena angin pasang telah berbelit dan mati. Doktor telah menebuk stoma untuk abah membuang air besar (lubang). Usus kecil abah juga turut dipotong sedikit kerana menurut kata doktor usus kecil abah berwarna kemerah-merahan disebabkan jangkitan kuman. Teringat lagi pada saat itu abah mahu menggelongsor dari katilnya kerana tidak mahu di operate. Perasaan berdebar-debar menerpa tatkala menunggu abah di operate di dewan bedah tingkat dua Hospital Ampuan Afzan. Hanya doa serta bacaan yasiin yang dapat disedekahkan buat abah supaya abah selamat dari operation.
Pada hari ke 17 kalau tidak salah, abah telah sedarkan diri dari kesan ubat tidur. Penangan ubat tidur telah membuatkan abah tertidur selama 10 hari. Apabila dia sedar bermacam-macam perkara telah dibualkan dengan kami. Diminta oleh abah kepada doktor untuk bersua muka dengan 5 orang cucunya. Rindu barangkali untuk melihat telatah cucu-cucunya. Tidak disangkakan itulah kali terakhir saya dapat berborak dan menyuapkan air ke mulut abah. Begitu manja sekali abah pada saat itu dengan anak-anaknya. Ramalan doktor mengatakan bahawa keadaan abah beransur pulih dan tidak perlu memakai tiub pernafasan lagi. Lega hati kami mendengarnya, tetapi kegembiraan itu tidak lama. Allah hanya memberi kesempatan sehari untuk abah bertemu dan bermesra dengan ahli keluarganya.
Pada malam sebelum hari konvokesyen saya (19hb 5 2011) yang sepatutnya emak dan kakak hadiri untuk menemani saya di Shah Alam telah berlaku kejadian yang membuatkan keadaan abah semakin tenat. Abah telah di operate lagi dan selepas operation telah berlaku pendarahan. Darah yang banyak memancut-mancut keluar. Ketika itu saya berada di shah alam. Patutlah malam itu saya rasa x sedap hati sangat. Kakak telah memaklumkan keadaan abah melalui sms. Saya hanya menangis mendengar perkhabaran itu. Apa yang saya mampu lakukan ketika itu hanyalah membuat solat hajat untuk abah. Dalam hati saya berbelah-bahagi samada hendak pulang ke kuantan atau tidak. Mujurlah mak meyakinkan saya untuk meneruskan konvokesyen saya. Usai konvokesyen saya terus pulang ke Kuantan. Pilunya hati melihat kawan-kawan ditemani keluarga tetapi saya hanya keseorangan di Dewan Agong Tuanku Canselor. Hajat abah menemani saya ke konvokesyen tidak kesampaian. Abah hanya mengangguk melihat gambar konvokesyen saya yang ditunjukkan oleh mak.
Selepas dari itu, doktor telah membekalkan bekalan darah kepada abah. Sebanyak 47 pek telah dibekalkan sehinggalah di saat abah meninggal dunia. Tetapi bekalan darah yang diberi langsung tidak meninggalkan kesan. Tekanan darah abah masih rendah selepas kejadian pendarahan yang lepas. Komplikasi dari pembedahan telah menimbulkan luka di usus dan usus abah telah dipotong sebahagian besar lagi. Buang pinggang abah juga telah dicuci setiap hari kerana menurut kata doktor ia sudah tidak berfungsi sepenuhnya lagi. Keadaan badan abah sangat lemah dan tidak mampu menggerakkan badan walhal tangan pun. Berat badan abah juga susut.
Sehinggalah saat operation terakhir yang ke-7 keadaan abah sudah tenat atau nazak. 2 hari selepas tu pada 5hb 6 2011 kira-kira pukul 1 lebih (pagi) abah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan mata mak, kakak yang ke-4 dan saya. Sampai ke saat ini saya masih terkenangkan peristiwa itu. Traumakah saya. Saya kurang pasti tetapi ingatan terhadap abah pada ketika itu telah membuatkan hati saya sebak dan sayu.
Ternyata Allah lebih menyayangi abah
Pengorbanan abah tidak dapat dibalas dengan wang ringgit. Abah sanggup melupakan keperluan peribadinya demi keluarga dan pembelajaran anak-anak.
Oleh itu, sudah menjadi rutin dan kewajipan oleh saya sebagai seorang anak yang ingin berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia dengan membaca yasin dan ayat-ayat suci al-Quran setiap hari walaupun dengan satu ayat untuk disedekahkan kepada arwah Abah. Mudah-mudahan kuburnya sentiasa bercahaya dan rohnya sentiasa dicucuri rahmat ILAHI serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh di akhirat kelak.
Selain amal jariah dan ilmu yang bermanfaat yang pernah dilakukan oleh si mati, anak-anaklah yang dapat membantu kedua ibu bapanya apabila mereka meninggal dunia. Segala perbuatan baik yang dilakukan oleh si anak di atas dunia ini sedikit sebanyak memberi saham juga kepada kedua ibu bapa yang berada di alam berzakh dan di akhirat kelak.
Akhir kata, saya selalu mendoakan semoga roh arwah Abah sentiasa tenang di sana. Amin.....
Credit to: M. Agus Syafii
4 comments:
sgtterkesan dgn tulisan budak tudan cerita dr tuan blog.saya pun sudah kehilangan ayah.Allah lebih sygkan mereka..Al-fatihah utk aruah pak sy n abah kamu..
Puan Kutu
terima kasih puan kutu kerana memahami rasa hati saya... sesungguhnya Allah lebih berhak ke atas kita... Al-Fatihah untuk arwah ayah awak dan ayah saya juga..
ann...tabah ya..
tersentuh hati bila baca isi hatii seorg anak..
alfatihah utk arwah ayah anna..
Asmiza Misram
tQ ja... Amin...
Post a Comment